Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi
Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi
Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah
menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang
dirahmati Allah,
Setiap manusia
dikurniakan oleh Allah SWT lidah. Lidah adalah daging yang lembut terletak di
dalam mulut manusia. Walaupun lidah tidak bertulang tetapi lidah boleh
mendatangkan dua akibat (kesan) yang besar iaitu samaada ke syurga atau ke
neraka. Jika digunakan dengan baik dan jujur maka lidah akan membawa pelakunya
insya Allah ke syurga atau sebaliknya lidah yang disalah gunakan akan membawa
pelakunya ke neraka. Nabi SAW pernah memberi isyarak kepada sahabat bahawa dua
anggota manusia yang banyak membawa ke neraka iaitu lidah dan kemaluan.
Nabi SAW pernah
bersabda yang bermaksud : "...sesiapa beriman kepada Allah dan hari
akhirat, hendaklah ia mengucapkan perkataan yang baik atau diam". (Hadis
Riwayat Muttafaq 'alaih)
Di dalam hadis sahih
riwayat Bukhari Nabi SAW bersabda kepada Mu'az bin Jabal sambil memegang
lidahnya yang bermaksud : "Engkau wajib menahan ini. Maka aku berkata, ya
Rasulullah, kami sentiasa mengotakan apa yang kami kata. Nabi berkata, 'ibumu
telah kehilangan engkau, wahai Mu'az. Bukanlah manusia di bantingkan muka
mereka ke dalam neraka disebabkan angkara lidah mereka?". (Hadis Riwayat
Bukhari)l
Rasulullah s.a.w.
berpesan kepada Sayyidina Ali k.wj. yang bermaksud :
"Wahai Ali !
Allah tidak menjadikan apapun dalam tubuh manusia yang paling utama, kecuali
mulut (lisan). Sesungguhnya mulutnyalah yang mengiring dirinya masuk syurga
atau masuk neraka. Maka dari itu penjarakanlah (jagalah) mulut kerana mulut itu
bagaikan anjing (gila)".
Terdapat 15 bahaya
yang timbul akibat ucapan (lidah) yang membawa pelakunya ke neraka, perkara
tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Mengucapkan
sesuatu yang tidak perlu
Kita hendaklah
menahan lidah daripada mengucapkan perkataan yang tidak berfaedah dan boleh
mendatangkan dosa. Lidah perlu dibasahkan dengan zikir kepada Allah SWT
Nabi SAW bersabda
maksudnya : "Sebahagian daripada bukti keelokan Islam seseorang adalah
meninggalkan perkara-perkara yang tidak berfaedah". (Hadis Riwayat
Muttafaq 'alaih)
Kedua : Terdorong
mengucapkan perkara yang batil (dosa)
Bermegah-megah dan
menceritakan pada orang lain perbuatan maksiat yang dia lakukan.
Nabi SAW bersabda
maksudnya : "Sesungguhnya , terdapat orang yang disebabkan ucapannyalah ia
tergelincir ke dalam neraka yang luasnya antara masyrik dengan maghrib"
Dan , dalam hadis lain yang senada dengan ini, "Hanya kerana satu
perkataan yang membuat Allah benci, maka orang itu dimasukkan ke dalam
neraka". (Hadis Riwayat Muslim)
Termasuk juga suka
berbantah-bantahan dengan orang alim dan tidak mahu menerima teguran dan
mempertahankan pendapatnya yang jahil.
Nabi SAW bersabda
maksudnya : "Lelaki yang paling dibenci Allah ialah lelaki yang suka
perbantahan dan permusuhan".
Ketiga : Bercakap
membuta tuli (tidak ikut hukum Islam dan bercakap tidak berdasarkan ilmu
disebabkan kejahilannya)
Nabi SAW telah
menyatakan bahawa orang yang paling dibenci dan jauh tempatnya dari baginda
pada hari kiamat nanti, ialah orang yang banyak bercakap tapi tidak tentu arah
kerana ia tidak berfikir sebelum bercakap.
Keempat : Memaki
hamun dan cakap kotor
Nabi SAW bersabda
maksudnya : " Bukanlah beriman orang yang suka mencela, mengutuk, mengeji
dan bercakap kotor".
Nabi SAW berpesan
kepada Sayidina Ali k.wj. maksudnya :
"Wahai Ali !
Janganlah engkau mencaci-maki orang Islam atau mencaci-maki binatang kerana
cacian itu akan kembali dirimu sendiri.
Wahai Ali ! Kuasailah
lisanmu dan biasakanlah dia mengucapkan yang baik, kerana tidak ada yang lebih
berbahaya bagi manusia pada hari kiamat yang melebihi ketajaman lisannya.
Wahai Ali ! Jauhilah
tukang caci-maki kerana ia suka membuka aib orang dan ia tidak akan masuk
syurga."
Kelima : Nyanyian
Nabi SAW telah
memperingatkannya melalui sebuah hadis yang bermaksud : "Nyanyian akan
menumbuhkan kemunafikan (nifiq) di dalam hati sebagaimana air menumbuhkan
sayur-sayuran". (Hadis Riwayat Baihaqi dan Ibnu Abu Dunya)
Dalam hadis yang lain
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Selagi akan ada di kalangan umatku
orang-orang yang memakai (menghalalkan) kain sutera dan nyanyian"
(Hadis Riwayat
Bukhari)
Firman Allah SWT
dalam surah Luqman ayat 6 yang bermaksud : "Dan sebahagian manusia ada
yang membeli percakapan kosong (lahwal hadis) untuk menyesatkan (orang lain)
daripada Allah."
Apabila ditanya Ibnu
Mas'ud makna 'lahwal hadis' dalam ayat tersebut, beliau mengatakan 'nyanyian'
bukan yang lain.
Nyanyian yang dimaksudkan
di sini adalah nyanyian yang melekakan daripada mengingati Allah SWT. Senikata
lagunya membenarkan perbuatan maksiat. Penyanyinya pula seorang wanita yang
mendedahkan aurat, berhias (tabaruj), menggunakan suara yang merdu dan
mempersonakan.
Tetapi sekiranya
nyanyian tersebut berunsur dakwah, tidak melalaikan kewajipan, tidak
menghalalkan yang haram dan nyanyian itu dilakukan oleh lelaki atau mahram kaum
lelaki dan tidak nyaring serta tidak diiringi dengan sesuatu yang haram.
Keenam : Bergurau
Bergurau tidak
berdosa selagi gurauan itu tidak melampau batas, kerana Nabi SAW sendiri pernah
bergurau tapi tidak pernah terkeluar daripada memperkatakan yang benar. Itu pun
jarang dilakukan Nabi. Pada umumnya , banyak bergurau akan mengurangkan ketenangan
dan boleh menumbuhkan kedengkian, tapi gurauan yang sedikit atau sekadar
menghilangkan kebosanan, tidak mengapa.
Ketujuh : Mengejek
atau memperolok-olokkan
Firman Allah SWT
maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum
mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang
diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok -olokkan), dan janganlah
pula wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita-wanita lain (kerana) boleh jadi
wanita-wanita (yang diperolok-olakkan) lebih baik dari wanita (yang
mengolok-olokkan), dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu
panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan
(ialah) panggilan buruk sesudah iman, dan barangsiapa yang tidak bertaubat,
maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah al-Hujurat ayat 11)
Diriwayatkan bahawa
ayat diatas diturunkan kerana utusan Tamim telah menghina golonqan fakir miskin
dari kalangan sahabat Nabi SAW. seperti Bilal, 'Ammar, Shuhaib, Khabbab, Ibnu
Fuhairah, Salman Al Farisy, Salim maula Abi Huzaifah dan lain lain.
Kelapan : Menyebarkan
fitnah, sumpah palsu, berdusta dan berbohong.
Sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis
Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sumpah palsu termasuk
perbuatan yang mendapatkan azab besar. Selanjutnya, dalam suatu hadis yang
diriwayatkan Abu Hurairah r.a. disebutkan, sumpah palsu termasuk di antara
perbuatan yang berdosa besar (Hadis Riwayat Tirmidzi).
Bahkan, masih menurut
riwayat Abu Hurairah, termasuk dalam lima dosa besar yang tidak diampuni dengan
kafarat ialah sumpah palsu dengan maksud mengambil harta orang lain.
Rasulullah
S.A.W. bersabda kepada Sayyidina Ali k.w. yang bermaksud :
"Wahai Ali !
Berbuatlah jujur sekalipun hal itu akan membahayakan dirimu didunia.
Sesungguhnya kejujuran itu bermanfaat di kemudian hari. Dan janganlah berdusta
sekalipun bermanfaat bagimu ketika itu kerana kedustaan itu akan menyulitkan
kamu di kemudian hari."
Nabi S.A.W. bersabda
maksudnya : “Empat perkara, siapa yang terdapat padanya empat perkara ini, maka
ia adalah munafik tulin, dan siapa yang terdapat padanya salah satu darinya,
maka padanya ada satu ciri kemunafikan; apabila diberi amanah ia berkhianat,
apabila bercerita ia berdusta, apabila membuat janji ia mungkiri dan apabila
berdebat ia curang.” (Hadis Riwayat Bukhari no. 34, 2459, 3178 dan Muslim
no. 2635. dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a.)
Kesembilan : Tidak
mengambil undang-undang Allah SWT dalam memutuskan sesuatu perkara.
Golongan yang
mengunakan lidah-lidah mereka untuk menggubal, bersetuju dan membahaskan dan
meluluskan rang undang-undang ciptaan manusia walaupun bertentangan
dengan al-Quran dan sunnah dan berhukum dengan hukuman yang di cipta oleh
manusia sebenarnya golongan ini meletakkan Allah dan Rasul-Nya
dibelakangnya. Al-Quran melebalkan golongan ini samaada kafir, zalim atau
fasik.
Firman Allah SWT yang
bermaksud :
"Barangsiapa
tidak memutuskan dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itulah
orang-orang kafir" (Surah al-Maidah ayat 44)
"Barangsiapa
tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itulah
orang-orang zalim" (Surah al-Maidah ayat 45)
"Barangsiapa
tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itulah
orang-orang fasik." (Surah al-Maidah ayat 47)
Kesepuluh :
Mengumpat.
Ketika Haji Widak,
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya darah kamu , dan kehormatan
kamu adalah haram atas kamu (mencabulinya) (Hadis Riwayat Jamaah)
Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud, " Tahukah kamu apakah ghaibah? Jawab sahabat,
"Allah dan Rasul yang lebih mengetahui. " Maka Rasulullah SAW.
bersabda , "Ghaibah itu jika kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan
saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain,
maka itu bererti ghaibah." Lalu Rasulullah SAW di tanya,"
Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? "Jawab Rasulullah SAW "
Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghaibah. Tetapi jika ia tidak
benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang lain).
Kesebelas : Mengadu
domba (menghasut)
Nabi SAW bersabda
maksudnya : " Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba."
Nabi S.A.W berwasiat
kepada Sayidina Ali k.wj: "Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu
syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil
(kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang
suka mengadu domba (mengasut)."
Kedua belas : Lidah
bercabang dua
Maksud lidah bercabang
dua adalah seorang yang berulang alik di antar dua orang yang bermusuhan, untuk
menyampaikan ucapan salah seorang daripada mereka kepada yang seorang lagi.
Tujuannya adalah supaya dia disanjung oleh kedua-dua pihak dan untuk dia
mendapat habuan dunia, dan supaya kedua-dua pihak sentiasa bermusuhan.
Nabi SAW bersabda
maksudnya : "Manusia paling jahat ialah sidua muka, apabila ia mendatangi
kelompok manusia maka ia membawa muka yang satu, dan apabila ia datangi
kelompok manusia yang lain maka ia membawa muka yang satu lagi."
Ketiga belas : Memuji
Ini juga termasuk
bahaya yang timbul daripada lidah. Sebab , memuji seseorang yang tidak
sepatutnya menerima pujian itu atau pujian yang berlebihan yang tidak sesuai
dengan hal yang sebenarnya sehingga jatuh kepada dusta atau memuji orang yang
sepatutnya dicela.
Suatu pujian sering
membuat orang yang menerimanya besar diri dan ujub, sedangkan Nabi SAW melarang
demikian.
Nabi SAW berwasiat
kepada Sayidina Ali k.wj : "Wahai Ali ! Apabila engkau disanjung orang
dihadapanmu, ucapkanlah : 'Ya Allah, jadikanlah aku lebih baik daripada apa
yang mereka katakan, ampunilah dosaku apa yang mereka tidak ketahui, janganlah
aku disiksa tentang apa-apa yang mereka ucapkan' . "
Keempat belas :
Bersumpah setia kepada selain Allah
Allah SWT telah
menerangkan di dalam al-Quran bahawa kita tidak boleh bersumpah setia kepada
sesuatu sebagai tandingan bagi keagungan atau kebesaran Allah. Sumpah setia
seperti itu boleh menjerumuskan orang berkenaan ke dalam neraka.
Kelima belas : Jangan
berkata "kalau" pada kejadian yang telah berlaku.
Nabi SAW bersabda
yang bermaksud ; "Jika kamu ditimpa oleh sesuatu maka janganlah berkata:
“Kalau aku berbuat demikian, tentu akan menjadi sekian-sekian” akan tetapi
katakanlah: “Takdir Allah dan apa yang Allah kehendaki pasti terjadi”. Ini
kerana perkataan “kalau” membuka pintu perbuatan syaitan." (Hadis Sahih
Riwayat Muslim , no: 4816)
Sahabat yang
dikasihi,
Marilah sama-sama
kita menjaga lidah kita supaya sentiasa bercakap benar dan janganlah kita
menyempang daripada jalan Allah SWT. Allah SWT sentiasa bersifat benar,
begitu juga para rasul bersifat sidek. Mereka memperjuangkan agama yang benar
(Islam) dan mengajak manusia kepada kebenaran.Mereka berjuang melupuskan segala
pendustaan, kepalsuan dan kepura-puraan dalam hidup.Mereka memperjuangkan
keadilan dan nilai kemanisan hidup berteraskan kebenaran.
Apabila kebenaran di
abaikan maka muncullah manusia yang sentiasa menjadikan lidahnya sentiasa buat
pendustaan amalan kehidupan seharian. Secara tidak langsung membawa kepada
kemusnahan keamanan ummat manusia.Kebenaran tergambar pada sifat ikhlas, jujur
dan didikasi.Benar pada niat dan kemahuan fikiran dan tindakkan dan benar pada
kata-kata pernyataanya.
Sabda Nabi s.a.w.
yang bermaksud : "Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikkan dan
kebajikan itu membawa kepada Syurga. Seorang yang sentiasa berlaku benar,
nescaya akan tercatat di sisinya Allah s.w.t sebagai sidek (org yg benar) dan
sesungguhnya bohong membawa keburukkan dan keburukkan itu membawa ke neraka.
Seseorang yang suka berbohong, nescaya tercatat disisi Allah SWT sebagai
kazab(pembohong)''
Semoga kita
semua patuh dan tunduk kepada semua yang disuruh-Nya dan sentiasa
diredai-Nya di dunia dan akhirat dan dimasukan Allah SWT kedalan
syurga-Nya.
Kamis, Mei 22, 2014 | 0
komentar | Read More

